Jangan sembunyikan kes janin berulat-polis


Satu janin yang masih belum cukup sifat dipercayai bayi perempuan ditemui di kawasan semak di tepi jalan di Kampung Banggol Kapas tiga hari lalu. Foto: BernamA

POLIS daerah Marang mengingatkan orang awam agar tidak melindungi suspek yang terlibat dalam kes penemuan janin perempuan yang sudah busuk dan berulat di Kampung Banggol Kapas, dekat sini tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya kini giat mengesan suspek, namun belum menemui sebarang petunjuk dan maklumat bagi mencari pihak yang bertanggungjawab.

“Kita mohon bantuan dan kerjasama orang awam, sekiranya ada mempunyai apa-apa maklumat berkaitan kes tersebut minta tampil ke balai polis berdekatan, bagi membantu siasatan kerana setakat ini belum ada sebarang maklumat bagi mengesan suspek bertanggungjawab terhadap kes ini,” katanya.

Pihak polis juga cuba mendapatkan maklumat daripada orang kampung tersebut, namun tiada maklumat tepat yang diterima bagi membantu siasatan.

Pada 1 Mac lalu, seorang suri rumah, Nor Azura Hashim, 34, menemui janin yang berbalut dengan kain batik dalam sebuah beg kertas berwarna biru, ketika dalam perjalanan ke majlis kenduri di kampung berdekatan kira-kira pukul 4 petang.

Lebih memilukan, janin itu yang diletakkan kira-kira 200 meter dari jalan utama kampung itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna, sudah berbau busuk dan berulat. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *