Seorang kanak-kanak berumur 7 tahun di tinggalkan ibu di rumah, polis terpaksa potong mangga pintu rumah

GAMBAR HIASAN

POLIS menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang ditinggalkan berseorangan dalam sebuah rumah dengan pintu berkunci di Taman Hijrah di sini, sejak Rabu lepas.

Ketua Polis Perlis, SAC Datuk Noor Mushar Mohamad berkata Nur Aleesya Zara Abdullah dipercayai ditinggalkan ibunya, Norhazwani Mazlan, 31, yang sudah bercerai.

Beliau berkata polis yang tiba di rumah berkenaan terpaksa memotong mangga pintu rumah tersebut untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.

Noor Mushar berkata penemuan kanak-kanak itu berikutan laporan seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kangar yang mendapat maklumat daripada seorang penghuni taman tersebut pada 8 malam tadi (Ahad).

Dalam kenyataan kepada media melalui aplikasi  WhatsApp pada Isnin Noor Mushar berkata penghuni lelaki tersebut bersama jiran lain memberi makan kepada kanak-kanak itu melalui tingkap rumah sejak dia dikurung.

Sehubungan itu, beliau berkata ibu kanak-kanak berkenaan ditahan di tempat tinggalnya di Kampung Surau, Utan Aji, Kangar, tengah hari ini bagi membantu siasatan.

Noor Mushar berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.Katanya kanak-kanak itu dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan pemeriksaan mendapati beliau tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi masih ditahan di Wad Pediatrik HTF untuk pemantauan.

Kanak-kanak itu akan ditempatkan di Rumah Teduh, Jalan Sekolah Derma Kangar di bawah pengawasan JKM Perlis selepas dibenarkan keluar wad kelak, katanya. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *